Tuesday, March 16, 2010

SUMBANGAN


Dalam bidang penulisan kreatif, Ishak menghasilkan tidak kurang daripada 23 buah cerpen pada waktu sebelum Perang Dunia Kedua. Dua buah novelnya Putera Gunung Tahan dan Anak Mat Lela Gila adalah antara novelnya yang mendapat sambutan hangat dan beberapa kali diulang cetak. Kedua-dua novel tersebut mencerminkan pandangan dan cita-cita pengarangnya sebagai seorang patriot dan sasterawan.
Seperti kebanyakan pengarang sebelum merdeka, Ishak menggunakan novel dan cerpen sebagai saluran untuk membakar semangat orang Melayu dan menyedarkan mereka tentang kedudukan mereka yang mundur dalam politik, ekonomi dan sosial. Sikapnya yang antipenjajah jelas diluahkannya dalam novel dan cerpennya.
Putera Gunung Tahan lahir daripada semangat kebangsaan dan rasa cemburu kepada pengaruh-pengaruh asing khususnya penjajahan Inggeris. Oleh itu novel ini adalah sebuah novel politik yang bertujuan untuk meniup semangat cinta akan tanah air, semangat ingin hidup maju dan bebas daripada belenggu penjajahan.
Novelnya yang berjudul Anak Mat Lela Gila dianggap sebagai novel yang cukup berjaya sebelum Perang Dunia Kedua. Novel ini menggambarkan keadaan masyarakat Melayu dengan kisah-kisah hasil pengalaman beliau mengembara ke seluruh negara. Watak-wataknya melontarkan sindiran terhadap sikap tidak adil penjajah Inggeris dan pembesar-pembesar tanah air terhadap masyarakat Melayu.
Satu perkara yang harus kita beri perhatian dalam karya-karya Ishak adalah tentang cita-citanya terhadap masyarakatnya masa itu. Pokok persoalannya tetap tentang rakyat jelata, dan beliau berpendapat bahawa setiap cerita mestilah mempunyai mesej dan bertujuan membimbing rakyat ke arah suatu kehidupan yang aman damai, bekerjasama, makmur, mewah, berbudi bahasa, berkhidmat dan berbakti.
Oleh sebab cintanya terhadap bangsa dan negara terlalu besar, maka tidak hairanlah kalau dikatakan bahawa hampir keseluruhan karya Ishak bercorak didaktik dan idealistik. Sebagai seorang pejuang nasional dan sasterawan, Ishak mempunyai tempat yang penting dalam sejarah kebangsaan dan kesusasteraan tanah air.
Kesusasteraan Melayu moden mulai berkembang selepas Perang Dunia Pertama. Pada dasarnya karya sastera pada zaman itu lebih bercorak protes. Tradisi itu mencapai kemuncaknya menjelang Perang Dunia Kedua. Dalam tahap perkembangan Ishak Haji Muhammad muncul sebagai penulis yang paling berjaya menawan hati para pembaca sehingga beliau menjadi lambang zaman itu. Selain itu, Pak Sako pernah menulis skrip filem berjudul Padi Kunca terbitan Filem Negara Malaysia pada tahun 1955. Filem ini yang juga menggunakan suara latar Pak Sako telah memenangi anugerah Golden Harvest dalam satu pesta filem yang berlangsung di Singapura.

0 comments: