Tuesday, March 16, 2010

LATAR BELAKANG TOKOH

Ishak Haji Muhammad menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Kampung Tengah, Temerloh dalam tahun 1919 sebelum melanjutkan pelajaran di Sekolah Inggeris Clifford di Kuala Lipis dari tahun 1924 – 1928. Beliau lulus Sijil Persekolahan Cambridge dalam tahun 1929 di Sekolah Inggeris Raub.

Pada tahun 1930, beliau melanjutkan pelajarannya di Maktab Melayu, Kuala Kangsar untuk berlatih menjadi pegawai tadbir Melayu (Malay Administrative Service). Pada tahun 1931, beliau bertugas sebagai pegawai dalam latihan selama setahun di Pejabat Daerah Temerloh sebelum ditukarkan ke Pejabat Daerah Bentong sebagai Timbalan Penolong Pegawai Daerah pada tahun berikutnya. Dengan itu beliau dilantik sebagai Majistret Kelas III dan pemungut hasil tanah. Setelah berkhidmat selama tiga bulan di Bentong, beliau telah ditukarkan ke Daerah Kecil Rembau, Negeri Sembilan. Kira-kira setahun setengah kemudian, beliau ditukarkan pula ke Kuala Lumpur sebagai Majistret Kelas III sehinggalah beliau meletakkan jawatan tersebut pada tahun 1935.

Selepas bebas daripada jawatan kerajaan, Ishak menjadi guru bahasa Melayu kepada pegawai-pegawai Inggeris di Polis Depot dan kemudian beliau mengembara ke seluruh tanah air selama tiga tahun. Sewaktu menjelajah tanah air inilah beliau mula menceburkan diri dalam bidang penulisan. Pada tahun 1937, Ishak mula bertugas dengan Warta Malaya, di Singapura sebagai pengarang dan penterjemahan. Dari situ beliau terus meningkatkan kegiatannya dalam bidang penulisan. Pada tahun inilah beliau menghasilkan novel sulungnya yang berjudul Putera Gunung Tahan yang dicetak oleh Jamaliah Press, Muar pada tahun 1938.

Ishak Haji Muhammad ialah orang pertama yang bercita-cita menerbitkan akhbar Utusan Melayu dan seterusnya menjadi pengasas penerbitan akhbar tersebut. Beliau berhenti dari Warta Malaya pada 1 April 1939 lalu menjelajah ke negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu untuk memberi penerangan kepada masyarakat tentang cita-cita beliau untuk menerbitkan sebuah akhbar kebangsaan. Usahanya ini telah mendapat sokongan dan dukungan yang hangat daripada masyarakat dan pada 29 Mei 1939, lahirlah akhbar Utusan Melayu.

Muhammad Haji Ishak adalah antara penulis sebelum Perang Dunia Kedua. Beliau menghasilkan novel, cerpen, esei, dan memoir. Beliau menghabiskan seluruh usianya sebagai penulis rencana Utusan Melayu di Kuala Lumpur. Ishak Haji Muhammad terkenal dengan nama samarannya seperti Pak Sako, Hantu Raya, Isako San dan Pak Pandir Moden. Beliau merupakan tokoh wartawan negara dan pejuang sastera.

Pada tahun 1941, Ishak yang terlibat dengan Kesatuan Melayu Muda (KMM) telah ditangkap oleh pihak British dan dibebaskan apabila Jepun berjaya menakluk Singapura pada tahun yang sama. Beliau kemudian menjadi Ketua Pengarang Berita Malai di samping turut menyumbangkan rencana dan cerpen dalam Semangat Asia dan Fajar Asia.

Ishak menjadi semakin aktif dalam arena politik dan bidang kewartawanan sesudah tamat perang. Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang ditubuhkan pada tahun 1945 pernah menerima Ishak sebagai salah seorang anggota pucuk pimpinannya. Apabila darurat diisytiharkan pada tahun 1948, kegiatan Ishak dianggap membahayakan keselamatan negara lalu beliau ditangkap sekali lagi dan ditahan di Penjara Pudu, Kuala Lumpur. Dari Penjara Pudu, Ishak dipindahkan ke beberapa buah khemah tahanan lain. Ishak kemudiannya telah dibebaskan tanpa syarat dalam bulan Mei 1953.

Setelah bebas dari tahanan, Ishak bertugas di Malayan Film Unit (MFU) di Kuala Lumpur sebagai penulis skrip hingga bulan Disember 1955. Mulai 6 Mac 1958, Ishak dilantik sebagai Ketua Pengarang Semenanjung di Singapura. Walau bagaimanapun minatnya terhadap politik tanah air tidak pernah malap terutama apabila beliau dilantik mengetuai Parti Buruh Malaya dan Socialist Front. Dalam pilihan raya umum 1959, Ishak bertanding bagi kawasan Bukit Bintang pada tahun 1964 tetapi gagal untuk memenangi sebarang kerusi.

Sewaktu tercetusnya konfrontasi antara Malaysia dengan Indonesia pada tahun 1965, Ishak telah ditahan sekali lagi. Selepas dibebaskan pada tahun 1966, beliau kembali bergiat dalam bidang penulisan. Ishak kemudiannya ditawarkan bertugas dengan Utusan Melayu sebagai penulis khas. Tulisannya yang amat popular ialah “Kenangan Hidup Pak Sako” yang disiarkan secara bersiri dalam Mingguan Malaysia, dan ruangan “Di Simpang Jalan” dengan menggunakan nama Pak Pandir Moden. Beliau juga pernah menjadi penulis ruangan pojok “Pepatah Petitih” dalam majalah Gila-gila.



0 comments: